Rabu, 19 Disember 2012

Makan Soto di Kuala Selangor


Anda pernah makan soto? Anda suka makan soto?

Aku suka makan soto. Bak kata bebudak sekarang, soto wa like. Di antara tempat pebret (favourite) aku makan soto adalah di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar. Kalau time balik kampung kerap jugaklah aku gi pekena soto di situ. 

Kemudian aku dapat tahu ada satu restoran soto di Kuala Selangor. Dengar-dengar khabar sedap sotonya. So, hujung bulan November lalu aku berkesempatan untuk singgah di restoran tersebut ketika on the way balik kampung

So? Betul ke sedap soto di Kuala Selangor tu? 

Mengikut lidah aku, memang soto di Kuala Selangor tu cukup rasanya. Lagi sedap dari soto di Sungai Besar. Tak maulu aku nak recommend pada korang soto di Kuala Selangor ni. Cubalah ... Kat mana lokasi Restoran Warong Soto tersebut? 

Ala .. korang cariklah sendiri. Kan kat kereta korang ada GPS he he he ... Aku bagi clue sikit ya .. ia terletak on your right side selepas jambatan Kuala Selangor jika arah ke Sungai Besar. Jika anda dari arah Sungai Besar ke KL atau Kelang, ia berada di sebelah kiri anda dan sebelum jambatan. OK! Sure korang boleh jumpa punya. :)-

@Kuala Selangor

soto ... yum yum ...

Isnin, 5 November 2012

Makan Nasi Bubur di Restoran Circle Night


Adakah anda peminat nasi bubur? Kalau YA jawapannya, kita mempunyai persamaan.

Masa aku kecik-kecik dulu, Nasi Bubur ni selalu mak aku akan masak dan buat jika aku tak sihat atau demam. Kenapa agaknya dia masakkan nasi bubur? Sebenarnya bila tak sihat dan tengah sakit, selera makan kita tiada. Agak sukar untuk menelan makanan. Jadi Nasi Buburlah makanan yang paling ideal dan berkhasiat untuk seseorang yang sakit. Selalunya mak aku akan membuatkan lauk ikan bilis goreng yang ditumbuk halus-halus yang ditabur di dalam nasi bubur. 

Baru-baru ini aku berpeluang makan nasi bubur berlaukkan paru-paru masak berlada di sebuah restoran di Seksyen 10 yang dikenali sebagai Circle Night. Anda pernah dengar atau makan di restoran ini? Sebenarnya bermacam-macam lauk pauk dan sayur mayur yang boleh dipesan dan digandingkan dengan nasi bubur di restoran tersebut.  

Sungguh berselera sekali aku makan pada malam itu.

mmmm ... sedap sedap 

"Bubur Nasi" corner di Restoran Circle Night
Sebenarnya, inilah kali pertama aku makan di restoran tersebut walaupun aku biasa makan di Seksyen 10 Shah Alam. Nak tahu di mana biasanya aku makan nasi bubur? Jawapannya adalah di Mydin USJ.

Check it out! 

Jumaat, 2 Mac 2012

Mmmmm Sedapnyaaaaa ....

Sewaktu zaman kanak-kanak di kampung dahulu memang favourite aku makan aiskrim yang diletak dalam roti seperti gambar di bawah. Cukup seronok rasanya dapat menikmati aiskrim ini. Aku berkesempatan makan aiskrim roti di bawah ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Imam Al-Ghazali di Manjalara, Kepong sebulan yang lalu. 

PERNAH MAKAN AISKRIM NI?

Isnin, 16 Januari 2012

Pancutan Air Setinggi Tiang Lampu


Wah! Cantik sungguh pancutan air seperti gambar di atas. Di manakah agaknya pancutan air setinggi tiang lampu ini? Agak pelik juga ada pancutan air berhampiran jalan raya. Sebenarnya lensa di atas dirakam menggunakan kamera digital Canon Anis di pagi Ahad ketika dalam perjalanan ke tempat pertandingan catur.

Aku tidak memberhentikan kereta sebenarnya. Lensa dirakam dari dalam kereta. Sekilas pandang, pancutan air tersebut di tepi Lebuhraya Persekutuan atau Federal Highway berhampiran flyover ke Batu 3. 

Tidakku tahu rupanya ada nyawa yang terkorban di lokasi air pancut ini. Air pancut ini berlaku disebabkan satu kemalangan. Sebuah kereta Proton Savvy telah terbabas ketika mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi lebuhraya lalu merempuh seorang wanita Indonesia dan sebuah pili. (Sila rujuk akhbar Sinar Harian hari ini di halaman 7).

Jumaat, 6 Januari 2012

Sudahkah Anda Membaca Buku "Anak Apak"?

Semenjak beberapa bulan kebelakangan ini aktiviti pembacaanku tersangat aktif sekali. Bermula dari hari ulang tahun kelahiran anak sulungku yang ke-15 pada 13 November 2011, sebanyak enam buah buku telah selesai dibaca. Empat daripadanya adalah hasil tulisan Ramlee Awang Murshid yang baru ku kenali beberapa bulan yang lalu melalui akhbar.

Dek kerana geraguk dan ingin mengetahui gaya penulisan dan imaginasi Ramlee, buku Tombiruo setebal lebih 500 halaman berjaya aku baca dalam masa 10 jam. 

Selepas usai membaca buku Tombiruo Terakhir, aku membaca Ranggau pula. Pembacaan buku setebal 549 halaman itu berjaya aku sudahkah dalam masa 3, 4 hari. Menarik juga plot ceritanya. Watak utamanya adalah seorang penulis yang berasal dari Sabah seperti Ramlee juga. Seperti dalam buku trilogi Tombiruo, Ramlee banyak menyelitkan unsur-unsur dakwah dan mengambarkan watak utama sebagai seorang yang warak dan rajin sembahyang. 

Suatu yang menarik dalam novel Ranggau ini ialah penulisnya menyelitkan sebuah sajak yang berintikan keislaman. Ia memberi satu kelainan dengan tiga buah novel Ramlee lain yang telah kubaca. 

Sesudah selesai aku membaca kedua-dua novel yang telah dibeli pada pertengahan bulan Disember lalu, pada hari terakhir tahun 2011 (menjelang malam tahun baru) aku membeli empat buah buku di MPH Jaya Jusco Bukit Rajah. Duah buah buku Ramlee - Fiksyen 302 (buku paling terbarunya) dan Mikhail. Selain itu aku juga membeli novel Ombak Rindu yang filemnya sedang hangat ditayangkan dan sebuah buku memoir Subky Abdul Latif di mana tulisannya dalam Harakah sering kubaca. Bukunya berjudul Anak Apak.

Perkataan Apak itu tidak asing bagiku. Dalam bahasa etnikku Kampar, Apak adalah panggilan kepada pakcik sebelah bapa. Kesemua anak abang-abangku memanggil aku Apak. Tetapi Apak bagi Subky yang berketurunan Jawa adalah panggilan kepada bapanya. Mungkin singkatan kepada Bapak, panggilan untuk ayah, abah atau bapa bagi orang-orang Jawa.

Rupa-rupanya ada beberapa persamaan di antara aku dan Subky yang kukenali sebagai seorang aktivis politik dan seorang wartawan. Di antaranya, nama ayah kami serupa iaitu Abdul Latif. Beliau juga telah bercita-cita dan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar tetapi dek kerana sesuatu sebab impian tidak menjadi kenyataan. Ayah kami berpendidikan agama dan bersekolah pondok. Seperti aku, beliau merupakan anak bongsu lelaki. 

Buku memoir dan autobiografi memang merupakan kesukaan aku. Pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang terutamanya yang terkenal dan berpengaruh bagiku bisa memberi pelbagai pengajaran dan pedoman dalam mengharungi sebuah pelayaran yang bernama kehidupan. Ia merupakan rakaman sejarah yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan seperti kebudayaan dan prinsip-prinsip kehidupan.

Pengalaman Subky berbasikal dengan beberapa orang kawan sekampungnya mengingatkan kembali kenanganku berbasikal di kampung semasa zaman kanak-kanak dahulu. Walaupun zaman kami berbeza tetapi aktiviti berbasikal itu tidak banyak bezanya.  


Gunung Semanggol dan Ustaz Abu Bakar Baqir yang diceritakan dalam bukunya juga menarik minatku. Ini adalah kerana, arwah ayahku dulu pernah memondok di Gunung Semanggol iaitu di Maahad Ehya Al-Sharif. Jika tidak silap, ayahku adalah di kalangan pelajar terawal di situ. Arwah ayah banyak membeli pinggan mangkuk yang ada lambang sekolah pondok tersebut untuk menyumbang kewangan. Bukan ayah sahaja yang bersekolah di situ tetapi ramai lagi saudara mara rapat yang lain seperti pakcik-pakcikku.

Di dalam buku Anak Apak ini, kata-kata seorang penulis barat yang juga telah menjadi kata azimat bagi penulis telah menarik minatku. Kata-katanya itu akan ku jadikan sebagai kata peransang bagi aku terus memupuk minat menulis.

"sekadar berminat menjadi penulis, anda tidak akan berjaya. tetapi dengan menulis setiap hari, anda akan menjadi seorang penulis yang baik"

Isnin, 2 Januari 2012

Fahim Belajar Tunggang Basikal

Adakah anda masih ingat ketika mula-mula belajar menunggang basikal? Berapakah usia anda ketika itu? Siapa yang mengajar anda? Basikal apa yang digunakan?

Tidak banyak yang aku ingat ketika mula belajar menunggang basikal di pertengahan tahun 70an. Berapa umur aku ketika itu pun sudah tak ingat. Tetapi rasanya sekitar 7 atau 8 tahun yakni setahun dua lebih muda dari usia Fahim yang menginjak 10 tahun, tahun ini. Di antara tempat aku belajar menunggang basikal itu yang masih jelas dalam ingatan ialah di halaman rumah nenekku yang ku panggil UWO. Rumahnya terletak kira-kira 3 kilometer dari rumahku. (di Tebuk / Jalan Sultan di Kampung Sungai Tengar)

Boleh dikatakan aku belajar sendiri dan kerap kali terjatuh. Agak kelakar kerana memandangkan basikal  agak besar, di peringkat awalnya aku hanya menyelit di celah palang bukan duduk di atas tempat duduk basikal. Kalaulah teknologi canggih di zaman itu seperti hari ini dengan pelbagai kamera digital di mana  aksi-aksi aku belajar menunggang basikal tersebut dirakam, sudah pasti anak-anakku akan tertawa terbahak-bahak.

Tidak seperti ketika anak bongsuku, Fahim, yang belajar menunggang basikal beberapa hari lalu. Aksi-aksinya telah ku rakam dengan menggunakan BlackBerry. Lihatlah aksi-aksinya di bawah.  




Memandangkan saiz basikal yang bersesuian dengan Fahim, dia tidak perlu "mencelah" di palang besi seperti aku lebih tiga dekad lalu. Bangga juga aku kerana Fahim cepat belajar kerana dalam masa sejam dua telah boleh menunggang basikal. Tidak seperti aku dahulu yang agak lambat he he he ..