Jumaat, 19 Februari 2016

YouTube


Internet itu sangat besar. Pelbagai info dan maklumat boleh didapati dari internet. Memandangkan Allah jadikan makhluk di dunia ini berpasang-pasangan, maka BAIK pasangannya BURUK. Internet ada keBAIKannya, Internet juga ada keBURUKannya. Sebagai seorang insan yang  baik dan bertanggungjawab sudah pasti kita ambil yang BAIK dan jadikan yang BURUK sebagai sempadan.

Selain facebook, YouTube merupakan satu mainstream dalam dunia Internet. Pelbagai info, maklumat dan ilmu yang boleh didapati dari YouTube. Sebagai contoh How-To-Video. Sewaktu menyertai kursus atau training, trainer aku kerap gunakan video dari YouTube yang menerangkan sesuatu konsep atau aplikasi.

Nak tahu video apa yang aku tonton di YouTube? 

Ceramah UAI, Debat Sheikh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik tentang Perbandingan Agama, Bacaan Al-Quran terutamanya dari Sheikh Sudais dan Taha Al-Junayd, Stand Up Comedy, X Factor, dan The Voice adalah antara video yang aku suka tengok di YouTube. 

Yang terkini, aku suka menonton VLOG Adam Saleh dari koleksi TrueStoryASA bersama rakannya Sheikh Akhbar. Perasan tak ada nama aku pada namanya .. ha ha ha ha ... 

Adam Saleh
sumber : Internet

Adam Saleh ni seorang remaja Amerika berketurunan Yaman. Ya, dia seorang muslim. Malah Adam pernah datang ke Malaysia.

Di bawah ini link VLOGnya ketika beliau berada di Malaysia.



Enjoy watching beneficial YouTube videos.


Khamis, 17 Disember 2015

Langkawi - 2009 (Bahagian 2)


Berkunjung dan melawat ke Galeria Perdana adalah salah satu aktiviti sewaktu percutian Langkawi 2009. Galeria Perdana merupakan satu muzium yang mempamirkan koleksi cenderahati dan barangan hadiah yang di terima bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke 4 iaitu Tun Dr Mahathir. 

Berikut adalah foto-foto menarik sewaktu kunjungan tersebut.

Fikri & Anis berposing di batu tanda Galeria Perdana
Zah bergambar dengan potret Tun Hasmah

Aku bergambar dengan potret Tun Mahathir

Siapalah agaknya yg menghadiahkan alat ini tanya Fikri dalam hati

Apa yang Fahim teropong tu?

Teropong akak tak sama tau dengan abang dan adik

cantik tak? cantik tak?

Set catur hadiah daripada PUSPANITA kepada Tun Hasmah (1994)

Set catur hadiah dari Pewter


Sabtu, 12 Disember 2015

Langkawi - 2009


Destinasi Percutian : Pulau Langkawi

Tarikh : 3 - 6 Jun 2009


Berkerut-kerut dahiku mengingatkan kembali percutian keluarga di Pulau Langkawi enam tahun yang lalu. Kami menaiki AirAsia. Aku pun sudah lupa kenapa tidak memandu untuk trip ini. Kenapa menaiki kapal terbang. Dapat tiket percuma barangkali? Aku rasa tidak. Tidak larat untuk memandu jauh? Mungkin juga. Rasa-rasanya sebab ingin memberi peluang kepada anak-anak untuk merasa menaiki kapal terbang. 

Berikut gambar-gambar ahli keluargaku setelah check-in barang.


Fikri, anak sulung, 13 tahun

Fahim sibongsu, 7 tahun

3 adik beradik anak Saleh

satu2nya anak perempuanku, Anis, dan ibunya


Daripada gambar-gambar di atas "sudah terang lagi bersuluh" kan yang penerbangan kami ke Langkawi adalah di sebelah petang.

Nak tahu di mana penginapan kami semasa percutian di Langkawi? Kalau tiada gambar-gambar ini sahih aku pun sudah lupa he he

check in di hotel penginapan

Kami sekeluarga menginap di Hotel Eagle Bay.


Rabu, 4 Februari 2015

"Daripada Pembaca Menjadi Penulis" - Zamri Mohamad


Rabu, 4.2.2015
Shah Alam

DARIPADA PEMBACA MENJADI PENULIS. Agak catchy bukan? Ini bukan ciptaan aku sebenarnya. Kata-kata ini tercatat di hadapan kulit sebuah buku tulisan Zamri Mohamad yang berjudul Cari Duit Cara Mudah sebagai PENULIS BEBAS

Bila aku beli buku tersebut?

Sebenarnya buku tersebut aku beli pada hari Sabtu, 24 hb Januari yang lalu. Eh, siap boleh ingat ya tarikhnya. Pada tarikh tersebut aku dan isteri menghadiri satu program di sekolah Anis di Kuala Selangor. Program Akujanji calon-calon SPM 2015 Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor termasuk anak perempuanku, Anis Fariha. Usai program tersebut, aku dan isteri membawa Anis outing. Seusai makan tengahari di sebuah cafe, kami bertiga ke Kedai Buku Sinar. Ada barangan persekolahan  dan buku yang hendak dibeli oleh Anis.

Biasalah, kedai buku memang tempat kegemaran untuk aku datangi. Aku berniat untuk membeli sebuah, dua buah buku. Akhirnya aku membeli dua buah buku. Dari salah sebuah buku tersebut aku pinjam ungkapan di atas. Aku selitkan ungkapan tersebut dalam tajuk blogku ini sebagai kata-kata semangat dan motivasi agar aku berjaya menjadi seorang penulis.

Selasa, 26 November 2013

Borong Buku Jack Higgins


Ahad - 24.11.2013

Setelah selesai melawat Fikri di SMS Alam Shah (ASiS), aku dan family terus bergerak ke Jaya Jusco Bukit Raja. Kenapa agaknya ya tidak terus pulang ke rumah? Destinasi kami ialah Kedai Buku Popular. Ada voucher yang ingin ditebus sebelum tamat tempoh. 

Aku tidak menyangka yang aku akan membeli buku lagi. Aku tidak dapat mengawal diri dari membeli lima buah buku setelah mendapati harga yang amat berpatutan dan murah sekali. Mana tidaknya, buku-buku Jack Higgins, salah seorang novelis yang aku minati, ada promosi harga runtuh. Harga sebuah buku beliau yang kurang seposen (kata orang Perak) empat puluh ringgit ditawarkan dengan harga hanya 8 ringgit. 

Apa lagi, aku kaut ke empat-empat buah novel Jack Higgins yang terdapat di rak. Aku mula mengenali novelis ini dengan buku beliau yang terkenal iaitu The Eagle Has Landed. Novel ini menurut info di Wikipedia telah terjual sebanyak 50 juta buah. Semenjak itu aku mula menyukai novel-novel beliau. 

Sebuah buku lagi yang aku beli ialah buku tulisan Subky Abdul Latif bertajuk Propagandis Zaman merupakan sambungan buku Anak Apak yang sudah habis kubaca. Harganya yang hanya kurang seringgit MYR 40.00 sangat berbaloi dibeli kerana halamannya yang sangat tebal. Lebih dari itu, kisah pengalaman penulis sangat tinggi nilainya kerana sarat dengan sejarah terutamanya berkenaan politik di negara ini. Pengamatan Subky amat tajam dan gaya tulisannya sangat bersahaja. Pendek kata, memang tidak bosan bagiku membaca buku-buku beliau. 

Berikut adalah foto buku-buku yang aku beli itu.

buku sambungan ANAK APAK






Bulan November di KK


Nampaknya bulan November 2013 sangat bermakna bagi diriku. Kenapa agaknya ya?

Pada 17hb genaplah usia perkahwinanku 18 tahun dengan isteri tersayang. Pada 13hb pula genap usia anak sulungku 17 tahun. Anak sulungku ketika ini sedang menduduki peperiksaan SPM. Tinggal dua hari lagi baginya untuk usai menghadapi peperiksaan SPM yang bakal menentukan halatuju masa depan pekerjaannya. Di bulan ini juga, aku berada "keluar bandar" hampir setiap hujung minggu.

Pada hari Jumaat dan Sabtu lepas, aku berada di Kota Kinbalu, Sabah. Sudah agak lama juga aku tidak ke negeri di bawah bayu. Kali terakhir aku berada di Sabah kira-kira sedekad yang lalu. Kunjungan ke Sabah kali ini aku berangan-angan ingin menjejak kaki ke Masjid Negeri Sabah. Seingat aku, selama ini aku tidak pernah singgah untuk bersolat di masjid tersebut bila berkunjung ke sana. 

Bila usia sudah melepasi 40an, priority aku sudah berubah. Tempat-tempat pelancongan utama dan popular tidak lagi menjadi keutamaan bagiku. Kini masjid-masjid menjadi keutamaanku. Alangkah seronoknya jika aku bisa bertandang ke seberapa banyak masjid di bumi Allah ini khususnya di Malaysia. Alhamdulillah, kunjungan singkat ke KK tersebut aku diizinkan Allah untuk beri'tikaf di dua buah masjid - Masjid Negeri dan Masjid Al-Aman yang terletak berhampiran pasar Filipina.

Rakaman foto berikut sudah pasti menjadi kenangan bagi diriku di masa akan datang. 



Masjid Negeri Sabah

Masjid Al-Aman

jemaah bersolat Asar

jam berukiran kayu & mimbar

Seperti kebiasaan, aktiviti membaca sudah pasti sebati dengan diriku ketika travelling terutamanya menaiki kapal terbang. Kali ini aku memilih untuk menyudahkan pembacaan buku Aku Bercerita tulisan Ramlee Awang Murshid yang berkebetulan merupakan anak kelahiran Sabah. Seperti biasa aku akan tandai tempat bacaan mengikut keberadaan. Sebagai contoh, ketika aku menaiki flight dari LCCT ke LTA KK, aku akan tandai awal pembacaan dengan info flight seperti no penerbangan, tarikh, dan tempat duduk. Begitu juga bagi pembacaan di hotel, aku akan buat catatan tarikh, nama dan nombor bilik hotel. 

Walaupun kunjungan ke Sabah sangat singkat, ditambah pula atas urusan kerja, sempat juga aku ke Pasar Filipina untuk membeli sedikit ole ole buat famili tersayang. Rakaman foto-foto berikut bisa memberi gambaran apa ole ole yang ku bawa pulang.

peniaga mutiara?

makanan laut Sabah

produk hutan Sabah

mesin jahit klasik
Kunjunganku ke KK kali ini telah menemukan aku dengan rakan sepersekolahan yang bernama Sarip Adol yang hampir tiga dekad tidak bertemu. Dengan izin Allah di pagi Sabtu bertarikh 23 November 2013, silaturrahmi kami bertaut semula setelah usia menginjak ke pertengahan 40an.Walaupun pertemuan singkat, tetapi sudah cukup bagi kami catch up semula.

Sheikh Sarip Adol
kuih apakah ini?

Ahad, 5 Mei 2013

"Cinco de Mayo" 2013 - Hari Mengundi PRU13


Hari ini adalah "Cinco de Mayo".

Apakah maknanya perkataan di atas? Sebenarnya, ia adalah dari Bahasa Sepanyol atau Spanish dalam Bahasa Inggerisnya yang bermaksud the fifth of May atau 5 haribulan Mei. Memang hari ini bertarikh 5hb Mei.

Hari ini sangat istimewa bagi aku bukan sahaja sebagai seorang pengundi berdaftar yang sah tetapi sebagai seorang bapa yang anak tunggal perempuannya dilahirkan pada hari ini lima belas (15) tahun lalu. Anak perempuan yang diberi nama Anis Fariha yang juga bakal menduduki peperiksaan PMR menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 15 pada hari ini.

Kek Harijadi anakku, Anis Fariha

Buat pertama kalinya aku mengundi di Parlimen Shah Alam (P108) dan DUN Kota Anggerik (N40). Dengan umur aku yang baru menjangkau 45 tahun bulan April yang lalu, aku mula layak mengundi pada PRU ke 8 yang telah diadakan pada tahun 1990. Ketika itu aku baru berumur kira-kira 22 tahun. Seperti yang pernah aku tulis sebelum ini, aku tidak mengundi pada PRU ke 8 tersebut kerana sedang berada di luar negara. Waktu itu, perhubungan komunikasi dan IT tidak secanggih sekarang. Ia masih diperingkat baru.

Aku mengundi di SK TTDI Jaya yang terletak kurang 10 kilometer dari rumah. Aku tidak keluar waktu pagi.  Aku keluar dari rumah ke pusat mengundi kira-kira pada pukul 12.25 petang. Aku tidak berseorangan, tetapi bersama isteriku yang akan mengundi buat kali keempat.

Aku dan isteriku sangat bernasib baik kerana barisan tidaklah panjang. Hanya 3, 4 orang sahaja di hadapan kami. Kami diletakkan di saluran 3. Tidak sampai sepuluh minit aku dan isteriku telah selesai menjalankan kewajipan mengundi. Aku mulakan proses pemangkahan di atas kertas undi dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim.

Berikut adalah gambar2 yang sempat aku snap sewaktu keluar mengundi di TTDI Jaya.

Calon2 P108 Shah Alam.

PAS - Khalid Samad

BN - Zulkifli Noordin

Perang poster

foto 1

foto 2

foto 3

Khemah Semakan SPR,  waktu 12.30pm hingga 1.00pm  - Agak lengang dan tiada orang. Mungkin disebabkan lunch hour?

semakan daftar pemilih
 Pusat mengundi di SK TTDI Jaya.
sk ttdi jaya, dibuka pada tahun 1997

saluran 1, 2 & 3

saluran 4
 Penggunaan dakwat yang pertama kali pada PRU kali ini.
bukti yg aku sudah membuang undi

Ketika entri ini ditulis, aku sudah bersiap sedia menunggu keputusan pilihanraya di kaca TV, saluran Astro Awani. Dijangka paling awal keputusan akan mula masuk bermula jam lapan malam. KITA TUNGGU DAN LIHAT SIAPA YANG MENANG. Calon mana yang akan menang bagi P108? Adakah parti PAS dan PKR akan mengekalkan P108 dan N40? Sudah pasti aku tidak sabar menanti.