Jumaat, 6 Januari 2012

Sudahkah Anda Membaca Buku "Anak Apak"?

Semenjak beberapa bulan kebelakangan ini aktiviti pembacaanku tersangat aktif sekali. Bermula dari hari ulang tahun kelahiran anak sulungku yang ke-15 pada 13 November 2011, sebanyak enam buah buku telah selesai dibaca. Empat daripadanya adalah hasil tulisan Ramlee Awang Murshid yang baru ku kenali beberapa bulan yang lalu melalui akhbar.

Dek kerana geraguk dan ingin mengetahui gaya penulisan dan imaginasi Ramlee, buku Tombiruo setebal lebih 500 halaman berjaya aku baca dalam masa 10 jam. 

Selepas usai membaca buku Tombiruo Terakhir, aku membaca Ranggau pula. Pembacaan buku setebal 549 halaman itu berjaya aku sudahkah dalam masa 3, 4 hari. Menarik juga plot ceritanya. Watak utamanya adalah seorang penulis yang berasal dari Sabah seperti Ramlee juga. Seperti dalam buku trilogi Tombiruo, Ramlee banyak menyelitkan unsur-unsur dakwah dan mengambarkan watak utama sebagai seorang yang warak dan rajin sembahyang. 

Suatu yang menarik dalam novel Ranggau ini ialah penulisnya menyelitkan sebuah sajak yang berintikan keislaman. Ia memberi satu kelainan dengan tiga buah novel Ramlee lain yang telah kubaca. 

Sesudah selesai aku membaca kedua-dua novel yang telah dibeli pada pertengahan bulan Disember lalu, pada hari terakhir tahun 2011 (menjelang malam tahun baru) aku membeli empat buah buku di MPH Jaya Jusco Bukit Rajah. Duah buah buku Ramlee - Fiksyen 302 (buku paling terbarunya) dan Mikhail. Selain itu aku juga membeli novel Ombak Rindu yang filemnya sedang hangat ditayangkan dan sebuah buku memoir Subky Abdul Latif di mana tulisannya dalam Harakah sering kubaca. Bukunya berjudul Anak Apak.

Perkataan Apak itu tidak asing bagiku. Dalam bahasa etnikku Kampar, Apak adalah panggilan kepada pakcik sebelah bapa. Kesemua anak abang-abangku memanggil aku Apak. Tetapi Apak bagi Subky yang berketurunan Jawa adalah panggilan kepada bapanya. Mungkin singkatan kepada Bapak, panggilan untuk ayah, abah atau bapa bagi orang-orang Jawa.

Rupa-rupanya ada beberapa persamaan di antara aku dan Subky yang kukenali sebagai seorang aktivis politik dan seorang wartawan. Di antaranya, nama ayah kami serupa iaitu Abdul Latif. Beliau juga telah bercita-cita dan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar tetapi dek kerana sesuatu sebab impian tidak menjadi kenyataan. Ayah kami berpendidikan agama dan bersekolah pondok. Seperti aku, beliau merupakan anak bongsu lelaki. 

Buku memoir dan autobiografi memang merupakan kesukaan aku. Pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang terutamanya yang terkenal dan berpengaruh bagiku bisa memberi pelbagai pengajaran dan pedoman dalam mengharungi sebuah pelayaran yang bernama kehidupan. Ia merupakan rakaman sejarah yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan seperti kebudayaan dan prinsip-prinsip kehidupan.

Pengalaman Subky berbasikal dengan beberapa orang kawan sekampungnya mengingatkan kembali kenanganku berbasikal di kampung semasa zaman kanak-kanak dahulu. Walaupun zaman kami berbeza tetapi aktiviti berbasikal itu tidak banyak bezanya.  


Gunung Semanggol dan Ustaz Abu Bakar Baqir yang diceritakan dalam bukunya juga menarik minatku. Ini adalah kerana, arwah ayahku dulu pernah memondok di Gunung Semanggol iaitu di Maahad Ehya Al-Sharif. Jika tidak silap, ayahku adalah di kalangan pelajar terawal di situ. Arwah ayah banyak membeli pinggan mangkuk yang ada lambang sekolah pondok tersebut untuk menyumbang kewangan. Bukan ayah sahaja yang bersekolah di situ tetapi ramai lagi saudara mara rapat yang lain seperti pakcik-pakcikku.

Di dalam buku Anak Apak ini, kata-kata seorang penulis barat yang juga telah menjadi kata azimat bagi penulis telah menarik minatku. Kata-katanya itu akan ku jadikan sebagai kata peransang bagi aku terus memupuk minat menulis.

"sekadar berminat menjadi penulis, anda tidak akan berjaya. tetapi dengan menulis setiap hari, anda akan menjadi seorang penulis yang baik"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan