Rabu, 17 April 2013

AKU dan PRU


Di kala ini, Malaysia sedang demam PRU13. Mungkin masih ada segelintir rakyat negara ini terutamanya para remaja dan kanak-kanak yang masih tidak tahu apa itu PRU. Aku agak teruja untuk menulis tentangnya memandangkan ia semakin hangat setelah pihak Barisan Nasional (BN) mewar-warkan senarai calon2nya hari ini.

Apa itu PRU? PRU adalah akronim atau singkatan bagi Pilihan Raya Umum. General Election dalam bahasa Inggerisnya. Angka 13 pula memberi maksud kali yang ke berapa. Ini bermakna pilihanraya yang akan diadakan pada tahun ini adalah kali yang ke 13 semenjak kali pertama diadakan pada tahun 1959 iaitu dua tahun setelah kemerdekaan.

Sudah berapa kali anda mengundi? Aku mula layak mengundi bagi PRU kali yang kelapan atau PRU8 iaitu pada tahun 1990. Tetapi aku tidak mengundi pada tahun itu kerana sedang berada di Amerika Syarikat menyambung pelajaran. Masih kuingat lagi,  pada ketika itu calon PRU13 BN bagi P113 Sepang, Dato Seri Ir Mohd Zin Mohamed, ada datang melawat ke El  Paso, Texas tempat aku belajar. Aku mula mengundi pada PRU9 yang diadakan pada tahun 1995.

Di mana aku mengundi? Aku mengundi di Pandan Jaya. Aku tidak pasti ia P (Parlimen) atau N (DUN) berapa. Kalau mengikut senarai PRU13, mungkin P100 Pandan.

Mengapa aku mengundi di kawasan di Pandan Jaya?

Sewaktu aku mendaftarkan diri dengan SPR sebagai seorang pemilih, aku menetap di Pandan Jaya. Aku bujang dan baru melangkah ke alam pekerjaan. Kalau tak silap sewaktu pilihanraya PRU9 itu aku telah berpindah ke Taman Bidara, Selayang. Pada PRU10 aku masih membuang undi di Pandan Jaya walaupun pada ketika itu aku telah menetap di TTDI Jaya, Shah Alam. Aku masih belum membuat pertukaran alamat. PRU pada tahun itu sangat bermakna kerana buat pertama kalinya kesedaran berpolitik sangat menebal dalam diriku. Pada ketika itu juga aku mula menjadi ahli sebuah parti politik.

PRU12

Sekali lagi aku tidak membuang undi pada PRU11. Nak tahu kenapa? Aku telah membuat pertukaran alamat. Tetapi entah di mana silapnya, aku telah ditukar sebagai pengundi di P95 Tanjong Karang dan N8 Sungai Burong. Kampung aku di Sabak Bernam dan tidak pernah menetap di Tanjong Karang. Sehingga ke hari ini aku masih bingung bagaimana ini boleh terjadi. Walaupun tidaklah jauh sangat untuk ke Tanjong Karang, tetapi disebabkan isteriku merupakan seorang petugas pada PRU11 tersebut dan anak bongsuku, Fahim, masih kecil ketika itu, aku tidak jadi pergi mengundi. Tambahan pula aku sibuk membuat persiapan untuk keluar negara.

PRU12 aku tidak mahu miss lagi. Aku mengundi di sebelah petang ketika dalam perjalanan balik ke kampung. Aku mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjong Karang. Bagi kerusi Parlimen, aku perlu mengundi di antara calon BN, Dato' Seri Noh Omar, dan calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin. (Baru aku tahu Hanipa rupa-rupanya sebaya denganku). Sementara untuk kerusi DUN Sungai Burong pula, calon2 untuk kupangkah adalah Mohd Shamsudin Lias (BN) dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin (PAS). Apa? Korang nak tahu aku undi siapa? Mana boleh beritahu. UNDI ITU RAHSIA!

Untuk PRU13 nanti, adakah aku masih membuang undi di Tanjong Karang? Atau aku sudah boleh mengundi di Shah Alam?  Jeng .. jeng .. jeng ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan