Isnin, 16 Januari 2012

Pancutan Air Setinggi Tiang Lampu


Wah! Cantik sungguh pancutan air seperti gambar di atas. Di manakah agaknya pancutan air setinggi tiang lampu ini? Agak pelik juga ada pancutan air berhampiran jalan raya. Sebenarnya lensa di atas dirakam menggunakan kamera digital Canon Anis di pagi Ahad ketika dalam perjalanan ke tempat pertandingan catur.

Aku tidak memberhentikan kereta sebenarnya. Lensa dirakam dari dalam kereta. Sekilas pandang, pancutan air tersebut di tepi Lebuhraya Persekutuan atau Federal Highway berhampiran flyover ke Batu 3. 

Tidakku tahu rupanya ada nyawa yang terkorban di lokasi air pancut ini. Air pancut ini berlaku disebabkan satu kemalangan. Sebuah kereta Proton Savvy telah terbabas ketika mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi lebuhraya lalu merempuh seorang wanita Indonesia dan sebuah pili. (Sila rujuk akhbar Sinar Harian hari ini di halaman 7).

Jumaat, 6 Januari 2012

Sudahkah Anda Membaca Buku "Anak Apak"?

Semenjak beberapa bulan kebelakangan ini aktiviti pembacaanku tersangat aktif sekali. Bermula dari hari ulang tahun kelahiran anak sulungku yang ke-15 pada 13 November 2011, sebanyak enam buah buku telah selesai dibaca. Empat daripadanya adalah hasil tulisan Ramlee Awang Murshid yang baru ku kenali beberapa bulan yang lalu melalui akhbar.

Dek kerana geraguk dan ingin mengetahui gaya penulisan dan imaginasi Ramlee, buku Tombiruo setebal lebih 500 halaman berjaya aku baca dalam masa 10 jam. 

Selepas usai membaca buku Tombiruo Terakhir, aku membaca Ranggau pula. Pembacaan buku setebal 549 halaman itu berjaya aku sudahkah dalam masa 3, 4 hari. Menarik juga plot ceritanya. Watak utamanya adalah seorang penulis yang berasal dari Sabah seperti Ramlee juga. Seperti dalam buku trilogi Tombiruo, Ramlee banyak menyelitkan unsur-unsur dakwah dan mengambarkan watak utama sebagai seorang yang warak dan rajin sembahyang. 

Suatu yang menarik dalam novel Ranggau ini ialah penulisnya menyelitkan sebuah sajak yang berintikan keislaman. Ia memberi satu kelainan dengan tiga buah novel Ramlee lain yang telah kubaca. 

Sesudah selesai aku membaca kedua-dua novel yang telah dibeli pada pertengahan bulan Disember lalu, pada hari terakhir tahun 2011 (menjelang malam tahun baru) aku membeli empat buah buku di MPH Jaya Jusco Bukit Rajah. Duah buah buku Ramlee - Fiksyen 302 (buku paling terbarunya) dan Mikhail. Selain itu aku juga membeli novel Ombak Rindu yang filemnya sedang hangat ditayangkan dan sebuah buku memoir Subky Abdul Latif di mana tulisannya dalam Harakah sering kubaca. Bukunya berjudul Anak Apak.

Perkataan Apak itu tidak asing bagiku. Dalam bahasa etnikku Kampar, Apak adalah panggilan kepada pakcik sebelah bapa. Kesemua anak abang-abangku memanggil aku Apak. Tetapi Apak bagi Subky yang berketurunan Jawa adalah panggilan kepada bapanya. Mungkin singkatan kepada Bapak, panggilan untuk ayah, abah atau bapa bagi orang-orang Jawa.

Rupa-rupanya ada beberapa persamaan di antara aku dan Subky yang kukenali sebagai seorang aktivis politik dan seorang wartawan. Di antaranya, nama ayah kami serupa iaitu Abdul Latif. Beliau juga telah bercita-cita dan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar tetapi dek kerana sesuatu sebab impian tidak menjadi kenyataan. Ayah kami berpendidikan agama dan bersekolah pondok. Seperti aku, beliau merupakan anak bongsu lelaki. 

Buku memoir dan autobiografi memang merupakan kesukaan aku. Pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang terutamanya yang terkenal dan berpengaruh bagiku bisa memberi pelbagai pengajaran dan pedoman dalam mengharungi sebuah pelayaran yang bernama kehidupan. Ia merupakan rakaman sejarah yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan seperti kebudayaan dan prinsip-prinsip kehidupan.

Pengalaman Subky berbasikal dengan beberapa orang kawan sekampungnya mengingatkan kembali kenanganku berbasikal di kampung semasa zaman kanak-kanak dahulu. Walaupun zaman kami berbeza tetapi aktiviti berbasikal itu tidak banyak bezanya.  


Gunung Semanggol dan Ustaz Abu Bakar Baqir yang diceritakan dalam bukunya juga menarik minatku. Ini adalah kerana, arwah ayahku dulu pernah memondok di Gunung Semanggol iaitu di Maahad Ehya Al-Sharif. Jika tidak silap, ayahku adalah di kalangan pelajar terawal di situ. Arwah ayah banyak membeli pinggan mangkuk yang ada lambang sekolah pondok tersebut untuk menyumbang kewangan. Bukan ayah sahaja yang bersekolah di situ tetapi ramai lagi saudara mara rapat yang lain seperti pakcik-pakcikku.

Di dalam buku Anak Apak ini, kata-kata seorang penulis barat yang juga telah menjadi kata azimat bagi penulis telah menarik minatku. Kata-katanya itu akan ku jadikan sebagai kata peransang bagi aku terus memupuk minat menulis.

"sekadar berminat menjadi penulis, anda tidak akan berjaya. tetapi dengan menulis setiap hari, anda akan menjadi seorang penulis yang baik"

Isnin, 2 Januari 2012

Fahim Belajar Tunggang Basikal

Adakah anda masih ingat ketika mula-mula belajar menunggang basikal? Berapakah usia anda ketika itu? Siapa yang mengajar anda? Basikal apa yang digunakan?

Tidak banyak yang aku ingat ketika mula belajar menunggang basikal di pertengahan tahun 70an. Berapa umur aku ketika itu pun sudah tak ingat. Tetapi rasanya sekitar 7 atau 8 tahun yakni setahun dua lebih muda dari usia Fahim yang menginjak 10 tahun, tahun ini. Di antara tempat aku belajar menunggang basikal itu yang masih jelas dalam ingatan ialah di halaman rumah nenekku yang ku panggil UWO. Rumahnya terletak kira-kira 3 kilometer dari rumahku. (di Tebuk / Jalan Sultan di Kampung Sungai Tengar)

Boleh dikatakan aku belajar sendiri dan kerap kali terjatuh. Agak kelakar kerana memandangkan basikal  agak besar, di peringkat awalnya aku hanya menyelit di celah palang bukan duduk di atas tempat duduk basikal. Kalaulah teknologi canggih di zaman itu seperti hari ini dengan pelbagai kamera digital di mana  aksi-aksi aku belajar menunggang basikal tersebut dirakam, sudah pasti anak-anakku akan tertawa terbahak-bahak.

Tidak seperti ketika anak bongsuku, Fahim, yang belajar menunggang basikal beberapa hari lalu. Aksi-aksinya telah ku rakam dengan menggunakan BlackBerry. Lihatlah aksi-aksinya di bawah.  




Memandangkan saiz basikal yang bersesuian dengan Fahim, dia tidak perlu "mencelah" di palang besi seperti aku lebih tiga dekad lalu. Bangga juga aku kerana Fahim cepat belajar kerana dalam masa sejam dua telah boleh menunggang basikal. Tidak seperti aku dahulu yang agak lambat he he he ..

Khamis, 29 Disember 2011

Peti Pos Klasik

Ketika bercuti di Kalumpang Resort kira-kira sebulan yang lalu, aku terpandang pada sebuah peti surat Pos Malaysia yang aku anggap klasik. Peti surat tersebut bukan milik orang persendirian. Sebenarnya, ia adalah sebuah peti pengumpulan surat di mana orang ramai boleh memasukkan surat yang ingin dipos. 

Anda pernah terjumpa peti surat sebegini? Agak-agak ada berapa peti surat seumpama ini di Malaysia di ketika ini?

Selasa, 27 Disember 2011

"Tombiruo Terakhir", Buku Terakhir Trilogi Tombiruo


Sepuluh hari yang lalu aku sekeluarga ke Mid Valley Megamall selepas usai majlis "Hari Keluarga" syarikat. Sungguh ramai sekali pengunjung ke shopping mall tersebut kerana agak lama juga aku menunggu untuk dapat parkir.

Bukan nak window shopping sangat, tetapi ingin ke MPH sebenarnya. Anak perempuanku Anis Fariha yang suka membaca seperti aku dok sibuk nak beli buku. Begitulah juga dengan aku yang ingin mencari dan membeli buku terakhir trilogi TOMBIRUO yang berjudul "Tombiruo Terakhir" tulisan novelis thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid.

Aku baru saja mengenali penulis ini beberapa bulan yang lalu melalui akhbar. Sudah banyak novel yang ditulisnya. Lebih daripada 20 buah kalau tak silap aku.

Buku pertama Ramlee yang aku beli ialah Tombiruo pada hari ulangtahun kelahiran anak sulungku, Fikri. Aku beli di Kompleks PKNS Shah Alam. Siap dapat discount 10 peratus lagi.


Memandangkan buku Tombiruo tersebut merupakan buku Ramlee pertama yang aku baca, pembacaanku sungguh khusyuk sekali. Buku setebal 517 muka surat itu aku sudahkan dalam masa 10 jam. Percaya tak? Begitulah aku, jika sudah seronok membaca tidak ingat benda lain. Al-maklum, buku "jualan terlaris"lah katakan.

Ini bermakna secara purata, aku membaca 100 halaman dalam masa dua jam.



Ketika menulis entri ini, aku telah selesai membaca 64 bab buku tersebut. Ini bermakna, 463 muka surat dari sejumlah 577 telah pun dibaca. Sebahagian besarnya aku baca ketika berada di kampung sewaktu bercuti hujung minggu kelmarin.

Ejim si Tombiruo telah pulang ke Hutan Keningau melepaskan kerinduan setelah berada di hutan batu KL selama 10 tahun. Hutan Keningau dan keluarga Tuan Berham terutamanya Amirul, anak kemanakan Ejim, telah diketengahkan semula.

Apakah kesudahan ceritanya? Mampukah Ejim sebagai watak utama dalam novel ini mengharungi cabaran baru di Hutan Keningau? Teruskan membaca ... he he

Selain buku "Tombiruo Terakhir", aku juga membeli sebuah buku Ramlee yang lain. Judulnya ialah "Ranggau". Agak menarik dan catchy judul buku tersebut. Kalau mengikut sinopsisnya, watak utama buku ini ialah Ursula Gimbang. Ursula telah diamanahkan oleh ayahnya Tuan Gimbang, seorang tokoh korporat di Negeri Bawah Bayu untuk menyiasat tentang kehilangan adik perempuannya yang dikaitkan dengan Ranggau.

Nak tahu lebih lanjut tentang Ranggau, moh kita baca novelnya ya!