Ahad, 5 Mei 2013

"Cinco de Mayo" 2013 - Hari Mengundi PRU13


Hari ini adalah "Cinco de Mayo".

Apakah maknanya perkataan di atas? Sebenarnya, ia adalah dari Bahasa Sepanyol atau Spanish dalam Bahasa Inggerisnya yang bermaksud the fifth of May atau 5 haribulan Mei. Memang hari ini bertarikh 5hb Mei.

Hari ini sangat istimewa bagi aku bukan sahaja sebagai seorang pengundi berdaftar yang sah tetapi sebagai seorang bapa yang anak tunggal perempuannya dilahirkan pada hari ini lima belas (15) tahun lalu. Anak perempuan yang diberi nama Anis Fariha yang juga bakal menduduki peperiksaan PMR menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 15 pada hari ini.

Kek Harijadi anakku, Anis Fariha

Buat pertama kalinya aku mengundi di Parlimen Shah Alam (P108) dan DUN Kota Anggerik (N40). Dengan umur aku yang baru menjangkau 45 tahun bulan April yang lalu, aku mula layak mengundi pada PRU ke 8 yang telah diadakan pada tahun 1990. Ketika itu aku baru berumur kira-kira 22 tahun. Seperti yang pernah aku tulis sebelum ini, aku tidak mengundi pada PRU ke 8 tersebut kerana sedang berada di luar negara. Waktu itu, perhubungan komunikasi dan IT tidak secanggih sekarang. Ia masih diperingkat baru.

Aku mengundi di SK TTDI Jaya yang terletak kurang 10 kilometer dari rumah. Aku tidak keluar waktu pagi.  Aku keluar dari rumah ke pusat mengundi kira-kira pada pukul 12.25 petang. Aku tidak berseorangan, tetapi bersama isteriku yang akan mengundi buat kali keempat.

Aku dan isteriku sangat bernasib baik kerana barisan tidaklah panjang. Hanya 3, 4 orang sahaja di hadapan kami. Kami diletakkan di saluran 3. Tidak sampai sepuluh minit aku dan isteriku telah selesai menjalankan kewajipan mengundi. Aku mulakan proses pemangkahan di atas kertas undi dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim.

Berikut adalah gambar2 yang sempat aku snap sewaktu keluar mengundi di TTDI Jaya.

Calon2 P108 Shah Alam.

PAS - Khalid Samad

BN - Zulkifli Noordin

Perang poster

foto 1

foto 2

foto 3

Khemah Semakan SPR,  waktu 12.30pm hingga 1.00pm  - Agak lengang dan tiada orang. Mungkin disebabkan lunch hour?

semakan daftar pemilih
 Pusat mengundi di SK TTDI Jaya.
sk ttdi jaya, dibuka pada tahun 1997

saluran 1, 2 & 3

saluran 4
 Penggunaan dakwat yang pertama kali pada PRU kali ini.
bukti yg aku sudah membuang undi

Ketika entri ini ditulis, aku sudah bersiap sedia menunggu keputusan pilihanraya di kaca TV, saluran Astro Awani. Dijangka paling awal keputusan akan mula masuk bermula jam lapan malam. KITA TUNGGU DAN LIHAT SIAPA YANG MENANG. Calon mana yang akan menang bagi P108? Adakah parti PAS dan PKR akan mengekalkan P108 dan N40? Sudah pasti aku tidak sabar menanti.

Khamis, 18 April 2013

Senarai PRU


Demam PRU (Pilihan Raya Umum) semakin hari semakin memuncak. Ramai yang semakin kecewa terutamanya mereka yang tidak tercalon serta para penyokong mereka. Protes dan luahan tidak puas hati mula berlaku di sana sini. Kita lupakan perkara ini buat seketika.

Di sini aku ingin berkongsi beberapa maklumat asas PRU terutamanya dengan generasi muda kita. PRU kali ini adalah kali yang ke berapa? Bila PRU di negara kita bermula? Berapa banyakkah kerusi yang dipertandingkan pada PRU kali pertama? Berapa ramai jumlah pengundi berdaftar pada ketika itu? Berapa ramai pula pada PRU kali ini?

Pilihan raya ini untuk apa sebenarnya? Kenapa kita perlu membuang undi? Sistem pemilihan yang bagaimana diamalkan oleh Malaysia?

Secara ringkas pilihan raya adalah proses untuk memilih. Sudah pasti proses memilih tidak sama dengan melantik. Siapa yang para pengundi pilih? Jawapannya ialah calon-calon yang bertanding untuk menjadi samada Ahli Parlimen / MP (Member of Parliament) dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

Sistem pilihan raya di Malaysia mengamalkan First-Past-The-Post (FPTP) sistem seperti yang diamalkan di United Kingdom. Sistem ini juga dikenali sebagai sistem mudah (simple) atau single member territorial representation. Senang cerita, calon akan menang jika dia memperolehi undi yang lebih tinggi walaupun dengan hanya kelebihan satu undi.

Jadual di bawah meringkaskan senarai PRU di negara kita yakni pada tahun bila diadakan. Jumlah kerusi yang dipertandingkan (nota: kerusi parlimen sahaja) dan jumlah bilangan pengundi berdaftar. PRU yang dihighlight warna kuning adalah PRU yang aku layak untuk mengundi.

sumber : sinarharian online
Jika diperhatikan dari statistik di atas, jumlah kerusi parlimen telah bertambah sekali ganda dari hanya 104 kerusi pada tahun 1959 kepada 222 pada PRU kali ini. Manakala pertambahan jumlah pengundi berdaftar telah bertambah lima (5) kali ganda dari dua juta kepada tiga belas (13) juta.

Rabu, 17 April 2013

AKU dan PRU


Di kala ini, Malaysia sedang demam PRU13. Mungkin masih ada segelintir rakyat negara ini terutamanya para remaja dan kanak-kanak yang masih tidak tahu apa itu PRU. Aku agak teruja untuk menulis tentangnya memandangkan ia semakin hangat setelah pihak Barisan Nasional (BN) mewar-warkan senarai calon2nya hari ini.

Apa itu PRU? PRU adalah akronim atau singkatan bagi Pilihan Raya Umum. General Election dalam bahasa Inggerisnya. Angka 13 pula memberi maksud kali yang ke berapa. Ini bermakna pilihanraya yang akan diadakan pada tahun ini adalah kali yang ke 13 semenjak kali pertama diadakan pada tahun 1959 iaitu dua tahun setelah kemerdekaan.

Sudah berapa kali anda mengundi? Aku mula layak mengundi bagi PRU kali yang kelapan atau PRU8 iaitu pada tahun 1990. Tetapi aku tidak mengundi pada tahun itu kerana sedang berada di Amerika Syarikat menyambung pelajaran. Masih kuingat lagi,  pada ketika itu calon PRU13 BN bagi P113 Sepang, Dato Seri Ir Mohd Zin Mohamed, ada datang melawat ke El  Paso, Texas tempat aku belajar. Aku mula mengundi pada PRU9 yang diadakan pada tahun 1995.

Di mana aku mengundi? Aku mengundi di Pandan Jaya. Aku tidak pasti ia P (Parlimen) atau N (DUN) berapa. Kalau mengikut senarai PRU13, mungkin P100 Pandan.

Mengapa aku mengundi di kawasan di Pandan Jaya?

Sewaktu aku mendaftarkan diri dengan SPR sebagai seorang pemilih, aku menetap di Pandan Jaya. Aku bujang dan baru melangkah ke alam pekerjaan. Kalau tak silap sewaktu pilihanraya PRU9 itu aku telah berpindah ke Taman Bidara, Selayang. Pada PRU10 aku masih membuang undi di Pandan Jaya walaupun pada ketika itu aku telah menetap di TTDI Jaya, Shah Alam. Aku masih belum membuat pertukaran alamat. PRU pada tahun itu sangat bermakna kerana buat pertama kalinya kesedaran berpolitik sangat menebal dalam diriku. Pada ketika itu juga aku mula menjadi ahli sebuah parti politik.

PRU12

Sekali lagi aku tidak membuang undi pada PRU11. Nak tahu kenapa? Aku telah membuat pertukaran alamat. Tetapi entah di mana silapnya, aku telah ditukar sebagai pengundi di P95 Tanjong Karang dan N8 Sungai Burong. Kampung aku di Sabak Bernam dan tidak pernah menetap di Tanjong Karang. Sehingga ke hari ini aku masih bingung bagaimana ini boleh terjadi. Walaupun tidaklah jauh sangat untuk ke Tanjong Karang, tetapi disebabkan isteriku merupakan seorang petugas pada PRU11 tersebut dan anak bongsuku, Fahim, masih kecil ketika itu, aku tidak jadi pergi mengundi. Tambahan pula aku sibuk membuat persiapan untuk keluar negara.

PRU12 aku tidak mahu miss lagi. Aku mengundi di sebelah petang ketika dalam perjalanan balik ke kampung. Aku mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjong Karang. Bagi kerusi Parlimen, aku perlu mengundi di antara calon BN, Dato' Seri Noh Omar, dan calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin. (Baru aku tahu Hanipa rupa-rupanya sebaya denganku). Sementara untuk kerusi DUN Sungai Burong pula, calon2 untuk kupangkah adalah Mohd Shamsudin Lias (BN) dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin (PAS). Apa? Korang nak tahu aku undi siapa? Mana boleh beritahu. UNDI ITU RAHSIA!

Untuk PRU13 nanti, adakah aku masih membuang undi di Tanjong Karang? Atau aku sudah boleh mengundi di Shah Alam?  Jeng .. jeng .. jeng ...

Isnin, 15 April 2013

Pernah Makan Roti Arab Sardin?


Ape kabo korang sumer?

Aku harap korang sumer sihat2 belaka hendaknya. Kalau tak sihat macam mana nak try makanan / minuman yang aku nak cerita sat lagi.

Korang pernah makan roti Arab? Suka makan roti Arab? Kalau suka kira ssssssamalah dengan aku he ... he ...he ... Aku ni bolehlah dianggap seorang penggemar roti Arab. Tapi aku tidaklah makan kerap sangat. Korang ni tahu tak roti Arab ni yang mana satu? Ker rupanya pun tak pernah tengok.

Aku mula kenal dengan roti Arab ni beberapa tahun yang lalu. Salah satu kenangan makan roti Arab ini ialah sewaktu aku berada di Kuantan. Dah lupa pulak tahun bila? tapi udah lame jugak ler. Sedap roti Arabnya. Sebenarnya, bukan roti Arab tu yang sedap sesangat tetapi cara ia di masak dan kuah pencicahnya.

Sabtu lepas, aku gi Seksyen 18 Shah Alam. Ada urusan sikit. Aku belum breakfast lagi. Hari pun dah semakin meninggi. Dah dekat nak masuk tengahari pun. Kira branch lani. Setelah selesai urusan, aku pun singgah di sebuah kedai mamak. Alamak lupa pulak nama kedainya. Tapi lokasinya berhadapan Mydin Seksyen 18, Shah Alam.

Aku perasan dalam menunya ada roti Arab. So, aku pun order lah. Macam2 versi ada ... aku order versi sardin. Aku ni memang penggemar sardin. Perh, siap ada dekorasi tu .. korang tengok ler gambar kat bawah ni. Tekak aku rasa memang sedap. dah habis satu aku telan, siap aku order satu lagi. Versi yang sama gak. Tapi aku tak makan kat situ. Ceh, habis ler rosak program diet aku nanti. Aku tapau. Harga pun tak mahal. Kalau nak berjimat, bolehlah jadikan ia sebagai satu menu ha ha ha ...

roti arab sardin
Di sebelah malam pulak, aku, isteri dan anak bongsuku Fahim gi Tanjong Karang. Aik, ada program apa kat situ? Sebenarnya ada satu pertandingan chess yang diadakan di Tanjong Karang. Biasa orang main chess sebelah siangkan? So, pertandingan chess ini merupakan di antara beberapa tournament yang diadakan di sebelah malam. Kami sampai awal sebenarnya. Pertandingan bermula pukul 9 malam. Kami sampai sebelum maghrib. Time Asar kami singgah di asrama Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor melawat Anis, anak perempuan tunggalku.

Seusai bersolat Maghrib di masjid, kami singgah di warung2 makan berhampiran tempat pertandingan iaitu di Dewan Dato' Hormat. Isteri aku order ABC, aku order lychee kang. Harga kira murah jer beb. Sebab mangkuknya pun tak besar sangat seperti di setengah2 restoran. Kalau tak silap aku, harga ABC hanya "dua hinggit" ajer. Lychee kang pun tak lebih tiga ringgit. Hangpa sumer tak terasa tergiur ker? he he he

lychee kang & air batu campur

nota: kedua2 gambar di atas adalah hasil tangkapan BB

Rabu, 19 Disember 2012

Makan Soto di Kuala Selangor


Anda pernah makan soto? Anda suka makan soto?

Aku suka makan soto. Bak kata bebudak sekarang, soto wa like. Di antara tempat pebret (favourite) aku makan soto adalah di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar. Kalau time balik kampung kerap jugaklah aku gi pekena soto di situ. 

Kemudian aku dapat tahu ada satu restoran soto di Kuala Selangor. Dengar-dengar khabar sedap sotonya. So, hujung bulan November lalu aku berkesempatan untuk singgah di restoran tersebut ketika on the way balik kampung

So? Betul ke sedap soto di Kuala Selangor tu? 

Mengikut lidah aku, memang soto di Kuala Selangor tu cukup rasanya. Lagi sedap dari soto di Sungai Besar. Tak maulu aku nak recommend pada korang soto di Kuala Selangor ni. Cubalah ... Kat mana lokasi Restoran Warong Soto tersebut? 

Ala .. korang cariklah sendiri. Kan kat kereta korang ada GPS he he he ... Aku bagi clue sikit ya .. ia terletak on your right side selepas jambatan Kuala Selangor jika arah ke Sungai Besar. Jika anda dari arah Sungai Besar ke KL atau Kelang, ia berada di sebelah kiri anda dan sebelum jambatan. OK! Sure korang boleh jumpa punya. :)-

@Kuala Selangor

soto ... yum yum ...

Isnin, 5 November 2012

Makan Nasi Bubur di Restoran Circle Night


Adakah anda peminat nasi bubur? Kalau YA jawapannya, kita mempunyai persamaan.

Masa aku kecik-kecik dulu, Nasi Bubur ni selalu mak aku akan masak dan buat jika aku tak sihat atau demam. Kenapa agaknya dia masakkan nasi bubur? Sebenarnya bila tak sihat dan tengah sakit, selera makan kita tiada. Agak sukar untuk menelan makanan. Jadi Nasi Buburlah makanan yang paling ideal dan berkhasiat untuk seseorang yang sakit. Selalunya mak aku akan membuatkan lauk ikan bilis goreng yang ditumbuk halus-halus yang ditabur di dalam nasi bubur. 

Baru-baru ini aku berpeluang makan nasi bubur berlaukkan paru-paru masak berlada di sebuah restoran di Seksyen 10 yang dikenali sebagai Circle Night. Anda pernah dengar atau makan di restoran ini? Sebenarnya bermacam-macam lauk pauk dan sayur mayur yang boleh dipesan dan digandingkan dengan nasi bubur di restoran tersebut.  

Sungguh berselera sekali aku makan pada malam itu.

mmmm ... sedap sedap 

"Bubur Nasi" corner di Restoran Circle Night
Sebenarnya, inilah kali pertama aku makan di restoran tersebut walaupun aku biasa makan di Seksyen 10 Shah Alam. Nak tahu di mana biasanya aku makan nasi bubur? Jawapannya adalah di Mydin USJ.

Check it out! 

Jumaat, 2 Mac 2012

Mmmmm Sedapnyaaaaa ....

Sewaktu zaman kanak-kanak di kampung dahulu memang favourite aku makan aiskrim yang diletak dalam roti seperti gambar di bawah. Cukup seronok rasanya dapat menikmati aiskrim ini. Aku berkesempatan makan aiskrim roti di bawah ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Imam Al-Ghazali di Manjalara, Kepong sebulan yang lalu. 

PERNAH MAKAN AISKRIM NI?