Ahad - 24.11.2013
Setelah selesai melawat Fikri di SMS Alam Shah (ASiS), aku dan family terus bergerak ke Jaya Jusco Bukit Raja. Kenapa agaknya ya tidak terus pulang ke rumah? Destinasi kami ialah Kedai Buku Popular. Ada voucher yang ingin ditebus sebelum tamat tempoh.
Aku tidak menyangka yang aku akan membeli buku lagi. Aku tidak dapat mengawal diri dari membeli lima buah buku setelah mendapati harga yang amat berpatutan dan murah sekali. Mana tidaknya, buku-buku Jack Higgins, salah seorang novelis yang aku minati, ada promosi harga runtuh. Harga sebuah buku beliau yang kurang seposen (kata orang Perak) empat puluh ringgit ditawarkan dengan harga hanya 8 ringgit.
Apa lagi, aku kaut ke empat-empat buah novel Jack Higgins yang terdapat di rak. Aku mula mengenali novelis ini dengan buku beliau yang terkenal iaitu The Eagle Has Landed. Novel ini menurut info di Wikipedia telah terjual sebanyak 50 juta buah. Semenjak itu aku mula menyukai novel-novel beliau.
Sebuah buku lagi yang aku beli ialah buku tulisan Subky Abdul Latif bertajuk Propagandis Zaman merupakan sambungan buku Anak Apak yang sudah habis kubaca. Harganya yang hanya kurang seringgit MYR 40.00 sangat berbaloi dibeli kerana halamannya yang sangat tebal. Lebih dari itu, kisah pengalaman penulis sangat tinggi nilainya kerana sarat dengan sejarah terutamanya berkenaan politik di negara ini. Pengamatan Subky amat tajam dan gaya tulisannya sangat bersahaja. Pendek kata, memang tidak bosan bagiku membaca buku-buku beliau.
Berikut adalah foto buku-buku yang aku beli itu.
buku sambungan ANAK APAK |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan